Abstract:
Di saat pandemik COVID-19 mencapai angka jangkitan yang amat membimbangkan, beberapa premis telah diberi arahan penutupan oleh pihak kerajaan. Antaranya termasuklah pusat karaoke dan kelab malam, premis kecantikkan, pasar tani, pusat rekreasi dan taman permainan, kolam renang dan gimnasium. Hal ini secara tidak langsung telah memberi impak negatif bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga kepada sumber pendapatan rakyat. Beberapa perniagaan juga turut terjejas termasuklah dalam industri kecergasan seperti pemilik gimnasium dan pelatih peribadi. Dengan arahan penutupan premis, gimnasium terpaksa ditutup, menyebabkan ramai pelatih peribadi tidak bekerja. Namun begitu, keadaan ini tidak menjejaskan reputasi seorang jurulatih peribadi untuk melatih klien mereka. Hal ini kerana terdapat beberapa inisiatif yang boleh mereka laksanakan untuk terus melatih klien mereka secara konsisten dan sistematik. Walaupun mereka tidak dapat melatih klien mereka secara bersemuka, jurulatih peribadi yang profesional harus boleh memikirkan cara yang lebih proaktif dan efektif untuk melatih dan memantau klien mereka sepanjang tempoh PKP susulan daripada pandemik COVID-19.