Abstract:
Kajian ini memperkenalkan sebuah pemodelan lengkung splin-B nisbah kabur jenis-2 yang merupakan gabungan antara pemodelan geometri dan teori set kabur jenis-2 bagi menyelesaikan masalah pemodelan data ketakpastian kompleks. Set data ketakpastian kompleks ditakrifkan sebagai titik data kabur jenis-2 dengan menggunakan teori set kabur jenis-2 melalui konsep nombor kabur jenis-2. Seterusnya, bagi pembinaan model kabur, proses pengkaburan melalui operasi potongan-alfa, proses penurunan dan proses penyahkaburan dilaksanakan. Kajian ini berjaya membuktikan bahawa model lengkung splin-B nisbah kabur jenis-2 dapat meyelesaikan masalah data ketakpastian kompleks bagi data pasang surut air. Ralat yang diperolehi antara titik data nyahkabur dan titik data rangup data pasang surut air adalah dalam julat yang boleh diterima kerana kurang daripada 0.1.