Abstract:
COVID-19 bukan setakat menggemparkan dunia, malah kadar mortaliti akibat jangkitan virus pembunuh ini terus melonjak naik. Inilah yang turut berlaku di negara ini. Dampaknya, orang ramai dibelenggu resah sepanjang masa. Apatah lagi, vaksin atau ubat penawar untuk menyembuhkan penyakit ini masih dalam fasa eksperimen. Gelombang pertama dan kedua yang telah melanda negara sebelum ini masih berada dalam keadaan terkawal di mana jumlah pengesanan kes positif COVID-19 pada masa tersebut rata-rata hanyalah sekitar dua angka. Terkini, pandemik COVID-19 di negara ini diklasifikasikan sebagai telah memasuki gelombang ketiga. Hal ini berlaku disebabkan oleh ketidakakuran terhadap langkah pencegahan dan pengawalan yang kian merosot sejak usaha membendung sebaran virus ini hampir berjaya dilakukan ketika pertamakali melanda negara ini. Statistik jangkitan positif yang membimbangkan memungkinkan lebih banyak kes kematian akibat COVID-19 bakal dicatatkan. Menyedari hal ini, maka usaha untuk mengenali tahap dan punca kesedaran orang ramai di setiap gelombang perlulah dititikberatkan.