Abstract:
FUNGSI pengurusan sumber manusia dalam sesebuah organisasi sangat kritikal dalam memastikan mereka yang diambil bekerja adalah yang memenuhi ciri-ciri atau kriteria yang diperlukan oleh organisasi. Di samping itu, pekerja baharu seharusnya dapat merangsang semangat bekerja, meningkatkan produktiviti, dan menjana keuntungan organisasi. Namun, jangkaan seperti ini hanya akan berlaku jika pengurusan sumber manusia meneliti dengan cekap proses-proses pengambilan pekerja dari peringkat awal lagi iaitu sebelum proses temu duga dijalankan.
Sebarang tindakan yang tidak menitikberatkan aspek ini akan mengundang risiko kepada organisasi. Ini termasuklah kecuaian menyemak latar belakang seseorang pemohon kerja. Kerisauan yang berlaku ialah pemohon mungkin mempunyai rekod jenayah masa lampau dan mungkin akan mengulangi tingkah laku yang sama. Jika hal ini berlaku, kebiasaannya pihak majikan akan berhadapan dengan dakwaan dari pihak pelanggan dan menanggung kerugian yang besar. Ini disebabkan pihak majikan didapati melakukan kecuaian dalam pengambilan pekerja di mana pemeriksaan latar belakang pekerja tidak dibuat dengan teliti.