Abstract:
Strategi pemindahan ilmu dan perkongsian ilmu, merupakan salah satu daripada strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah teraju Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi menyokong kerangka besar Ekonomi MADANI. Asas kepada strategi ini adalah bagaimana segala ilmu yang dihasilkan dalam bentuk penyelidikan di menara gading itu dapat dipindahkan menerusi perkongsian ilmu yang disukai atau diterima oleh komuniti. Bagi menjayakan hasrat merakyatkan ilmu ini maka sudah tiba masanya untuk para ilmuwan di menara gading untuk memikirkan kaedah yang lebih efektif memindahkan ilmu kepada kumpulan sasar. Lebih tepat lagi, ahli-ahli komuniti yang berada di kawasan luar bandar. Jika selama ini perkongsian ilmu lebih cenderung menggunakan hotel-hotel lima bintang, maka mari kita halakan pula ke dewan-dewan serbaguna di kampung-kampung nun jauh di sebalik bukit bukau dan lembah menghijau.