Abstract:
Modal insan didefnisikan sebagai pengetahuan, kemahiran, kebolehan, kemampuan dan ciri-ciri yang terkandung dalam diri individu yang membolehkan penghasilan kesejahteraan individu, masyarakat dan ekonomi (OECD, 2001). Sejarah membuktikan bahawa negara yang telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang ketara lebih memahami dan mengakui kepentingan pelaburan dalam modal insan seperti kesihatan dan pendidikan secara berterusan. Buktinya, negara ini telah membuat pelaburan dalam kesihatan dan pendidikan yang tinggi sebagai salah satu komponen modal insan yang amat penting. Terdapat dua perspektif utama dalam aliran ekonomi iaitu model ekonomi klasik yang mementingkan faktor pertumbuhan ekonomi. Perspektif yang kedua adalah berkenaan dengan pembangunan ekonomi dan penilaiannya, serta pertimbangan lanjut mengenai pembangunan manusia itu sendiri yang dikenali sebagai modal insan. Di sebalik perbezaan perspektif ini, kedua-duanya bersetuju bahawa pembangunan manusia adalah komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi dan menganggap pengembangan ekonomi sebagai sumber untuk pembangunan manusia itu sendiri.