Abstract:
Pembelajaran berasaskan pengalaman merupakan kaedah pengajaran progresif yang berkesan dalam memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar memahami suatu topik yang diajar di luar bilik kuliah. Ianya dilaksanakan bila mana pelajar dibawa ke lapangan untuk menjana pemahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu topik kuliah dengan menangani isu berkaitan kursus yang diketengahkan. Interaksi juga berlaku antara pelajar dan pemegang taruh atau komuniti terlibat. Dalam masa sama, pensyarah atau pembimbing membuat pemantauan dan terlibat sama memantau sesi-sesi di lapangan bagi memastikan objektif pembelajaran berasaskan pengalaman ini dapat dicapai.
Description:
Menerusi Kursus Pengurusan Sumber Manusia yang ditawarkan oleh Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, pelajar mengambil Kursus ini sentiasa didedahkan dengan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman di komuniti-komuniti yang memenuhi ciri komuniti yang ditetapkan dengan topik kursus. Menerusi topik berkaitan iaitu “Mengurus Sumber Manusia di Firma Kecil dan Keusahawanan”, pensyarah kursus iaitu Dr. Jakaria Dasan, telah menugaskan para pelajar untuk mendekati komuniti usahawan yang menjalankan aktiviti-aktiviti keusahawanan dan meneliti isu-isu berhubung sumber manusia dan berkaitan yang boleh ditambah baik dan kemudiannya dikongsikan kembali dengan komuniti.